MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menasihati Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan hanya kerana mahu mempersenda orang lain.
Kenyataan itu sebagai reaksi balas terhadap ciapan Twitter Syed Saddiq berhubung laporan portal berita memetik kenyataan Annuar menyifatkan – ‘Rakyat tidak lagi berasa takut terhadap pandemik Covid-19 sebagai indikator kejayaan kerajaan’.
Annuar berkata, sebagai bekas menteri Kabinet dan individu berpendidikan Syed Saddiq sepatutnya mengambil masa menonton keseluruhan video kenyataannya itu supaya dapat memahami konteks sebenar.
“Sebagai Ahli Parlimen yang berpendidikan dan bekas anggota Kabinet, ada baiknya ambil sedikit masa tonton keseluruhan video 1 jam lebih itu.
“YB akan lebih faham konteks sebenar dan bukan bersandarkan petikan yang cuba troll sesuatu bagi tujuan nak ‘ridicule’ (mempersenda) seseorang. Relax Yb,” ciapnya.
Sementara itu, dalam ciapan lain, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sebagai ahli politik Syed Saddiq juga seharusnya memikul tanggungjawab dengan amanah dan jujur.
“Bila orang kata ’tissue’ YB koyak atau YB lompat pagar, YB tentu lebih tau apa yang sebenar terjadi, berbanding apa yang haters YB tulis…
“Tenang tenang YB, kita orang politik yang penting kita teruskan berusaha dan berkerja memikul amanah dengan jujur,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq membidas laporan berita yang memetik kenyataan Annuar itu, memandangkan sebanyak 84 kes kematian dan 5,841 kes baru direkodkan, semalam.
“Macam mana awak (Annuar) boleh cakap begini? Mengapa ini dianggap satu ‘kejayaan’? Saya tak faham. Kenapa kerajaan buat-buat tak nampak dengan situasi ni?,” ciapnya.
Semalam sebuah portal berita melaporkan, Annuar didakwa berkata, rakyat tidak lagi berasa takut dengan Covid-19, dan itu adalah petunjuk bahawa kerajaan telah berjaya menguruskan wabak tersebut.
“Kita tidak menolak bahawa ancaman itu besar tetapi secara relatifnya, kita telah berjaya,” katanya. – Malaysiapost

