TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi pesawat A400M dari No 22 Skuadron hari ini membawa 20 tan bekalan makanan asas ke Labuan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bahagian Perhubungan awam TUDM dalam kenyataan berkata, ia terdiri beras, minyak masak, sardin tin, krimer manis, sos cili, kicap, gula, garam, biskut, tepung gandum, bihun, serbuk kopi dan serbuk teh.
Katanya, misi bantuan dilaksanakan oleh TUDM itu adalah usahasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Labuan.
Menurut kenyataan itu, bekalan itu akan diagihkan kepada kira-kira 13,800 keluarga melibatkan lapan lokaliti yang dikenalpasti berisiko tinggi di pulau tersebut.
“Seawal jam 7 pagi tadi, anggota petugas TUDM dari Cabang Pergerakan, Pangkalan Udara Subang bersama anak kapal pesawat A400M bertungkus lumus melaksanakan proses memuatnaik kotak bekalan makanan ke badan pesawat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pesawat yang melaksanakan misi penghantaran diterbangkan oleh Mejar In’Amul Hasan Shuhaimy bersama Kapten Syahmi Nazri dan Kapten Wan Ubaidullah Wan Hanapi.
“Kapten Muhammad Hilmi Che Mahadi dan Kapten Muhammad Ashraf Safwan Jamiasmara selaku pembantu juruterbang.
“Anak kapal lain yang turut terlibat adalah dua anggota kuartermaster udara iaitu FSarjan Tuan Mohd Razali Tuan Abdullah serta Sarjan U Nazmil Hafis Mohamad Nayan dan dua kru iaitu FSarjan Mohd Hariri Safiee serta Sarjan U Hairil Haris,” katanya.
Menurut TUDM, pesawat telah terbang dari Pangkalan Udara Subang jam 9 pagi tadi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan jam 11.30 pagi.
“Ini merupakan penerbangan keempat melibatkan penghantaran bantuan bekalan makanan ke labuan sejak pelaksanaan PKPD di wilayah tersebut.
“Turut dibawa bagi penerbangan kali ini ialah peralatan perubatan Covid-19 daripada KKM dan Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta barangan peralatan bagi Hospital Medan ATM,” katanya. – Malaysiapost

