MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini berhubung surat palsu mengaitkannya mempunyai sokongan bagi pelantikan sebagai Perdana Menteri yang tular sejak semalam.
Laporan dibuat Setiausaha Akhbarnya, Mohd Hafiz Ariffin untuk mengesahkan bahawa surat berkenaan palsu dan membolehkan polis menjalankan siasatan dalam mengenalpasti dalang di sebalik penyebaran surat terbabit.
“Laporan polis berhubung surat palsu mengaitkan saya dan disebarkan sejak semalam telah dibuat di IPD Dang Wangi sebentar tadi bagi mengesahkan bahawa surat tersebut; kepala surat, tandatangan dan cop perakuan penerimaan adalah palsu serta direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Dengan laporan ini juga, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik perbuatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau konsisten menegaskan bahawa politik fitnah dan kebencian tidak sepatutnya terus menjadi amalan apatah lagi ketika negara berdepan situasi getir ekoran Covid-19.
Sejak semalam tersebar surat sokongan menyatakan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mencalonkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri selain senarai jemaah menteri daripada Umno, Bersatu, MCA, Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut disertakan.
Dalam surat bertarikh 22 Jun itu, nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bahagian Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri II.
Isu mengenai sokongan terhadap Hishamuddin menjadi Perdana Menteri mula hangat apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dikatakan mengumpulkan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan terhadap Hishammuddin.
Mohamed Nazri bagaimanapun kemudian menafikan ia adalah SD, sebaliknya surat pengakuan pemberian mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

