Guan Eng bimbang kes bunuh diri meningkat

0
2

PENINGKATAN kes bunuh diri akibat tekanan kewangan dan kehidupan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat merisaukan.

Perkara itu diluahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menzahirkan rasa sangat hiba apabila membaca berita mengenainya.

“Kita bukan sahaja menyaksikan angka kematian tertinggi disebabkan kegagalan mengurus pandemik Covid-19.

“Malah kegagalan kerajaan PN dalam mengurus krisis ekonomi demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat juga telah mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Saya akan mengunjungi keluarga tersebut untuk menghulurkan bantuan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam media melaporkan seorang lelaki yang mengalami kemurungan sejak perniagaannya gagal, maut selepas terjun dari tingkat 10 pangsapuri di Jalan Bagan Ajam, Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan daripada pengerusi pangsapuri pada jam 6.45 petang berhubung insiden itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 tahun memasuki kawasan pangsapuri dengan menunggang motosikal melalui laluan utama.

Mangsa kemudian menaiki lif ke tingkat 10 sebelum duduk melunjur kaki keluar di balkoni kaki lima dan secara tiba-tiba terjun dari bangunan itu.

Isnin lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata 53 kes bunuh diri direkodkan di negeri itu dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Kon Yeow berkata, data itu dikongsi Ketua Polis Pulau Pinang yang turut memaklumkan sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri atau purata lima kes sebulan dalam tempoh sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here