Langkah bersepadu tangani isu promosi LGBT di media sosial

0
2

MESYUARAT Khas Task Force Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bersetuju melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu bagi menangani isu membabitkan kumpulan terbabit, terutama usaha mereka mempromosi gaya hidup songsang di media sosial.  

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuki Shaary, berkata tindakan tegas secara segera itu termasuk cadangan meminda Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah di negeri-negeri.  

Menurutnya, ia bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau aplikasi.  

Beliau berkata, mesyuarat khas berhubung isu itu hari ini diurus setia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan disertai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).  

“Task force menangani isu LGBT ini diwujudkan selari Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jakim.  

“Tujuan mesyuarat khas ini membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Menurutnya, bulan Jun dianggap sebagai ‘gay pride month’ di mana gerakan LGBT seluruh dunia termasuk di Malaysia sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.  

“Justeru kita dapati ada pihak tertentu memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mepromosikan gaya hidup LGBT.  

“Tiada tapisan langsung di media sosial terhadap kandungan video-video berkaitan hubungan sejenis yang giat disebarkan,” katanya.  

Beliau berkata pengantunan atau ‘sexual grooming’ terhadap kanak-kanak di bawah umur yang didakwa dilakukan seorang transgender di media sosial baru-baru ini, juga mungkin boleh menjerumus kepada perlakuan pedofilia, namun malangnya tidak pula diperjuangkan kumpulan aktivis LGBT.  

“Ia menunjukkan mereka bersikap ‘double standard’ kerana hanya menperjuang isu secara terpilih.  

“Justeru, mesyuarat bersetuju melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT bagi menunjukkan komitmen penuh dalam menangani masalah ini,” katanya.  

Ahmad Marzuk berkata, antara tindakan lain adalah mengenalpasti masalah dan kekangan dihadapi pihak penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu. 

Selain menghasilkan satu prosedur operasi standard (SOP) menyeluruh mengenai pengendalian berkaitan penghinaan agama serta promosi gaya hidup LGBT. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here