
POLIS Pulau Pinang kini menunggu nasihat undang-undang daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bagi menentukan tindakan seterusnya terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Ia berhubung dakwaan beliau memandu uji kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam, 5 Jun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkan ia kepada PPN.
“Kita telah hantar kertas siasatan ke Bukit Aman dan ia diserahkan kepada PPN untuk diteliti dan memberi cadangan selanjutnya.
“Kini kita tunggu nasihat dan pandangan undang-undang PPN untuk tindakan seterunya sama ada kompaun atau sebaliknya,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan dibuat selepas beberapa keping gambar menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu memandu uji sebuah kenderaan tular di media sosial.
Siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021. – Malaysiapost
