Kekal SOP kuarantin 21 hari, kes varian membimbangkan memuncak

0
1
SEPANG 15 JULY 2016. Kelihatan orang ramai beratur untuk membuat pemeriksaan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke destinasi masing-masing. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KERAJAAN terus mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin selama 21 hari bagi kemasukan pengembara dari negara tertentu susulan peningkatan varian membimbangkan (VOC) Covid-19 di beberapa negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, langkah berkenaan diambil berikutan 50 peratus negara di dunia telah melaporkan kes varian berkenaan dalam komuniti.

“Semua pengembara perlu menjalani ujian PCR Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara.

“Selain itu, tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan warga asing yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan juga dikekalkan 21 hari di stesen kuarantin ditetapkan oleh kerajaan.

“Pengembara dari lain-lain negara dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan. Tempoh itu boleh dilanjutkan menjadi 21 hari jika ada keperluan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian ulangan PCR Covid-19 akan dilakukan pada hari ke-10, jika pengembara menjalani kuarantin bagi tempoh 14 hari.

Katanya, sekiranya keputusan ujian ulangan tersebut didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-14.

“Pengembara yang menjalani tempoh kuarantin 21 hari pula, ujian ulangan PCR Covid-19 perlu dilakukan pada hari ke-18 dan jika didapati negatif, pelepasan akan diberikan pada hari ke-21.

“Pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan varian yang perlu diwaspada (VOI),” jelasnya.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak enam kes varian baharu Covid-19 telah dilaporkan antara 20 hingga 22 Jun 2021, dengan kesemuanya adalah VOC iaitu lima kes varian Beta (B.1.351) dan satu kes varian Delta (B.1.617.2).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 189 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here