KERAJAAN telah memperkenalkan dua model di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ia terdiri daripada model pertama iaitu Vaksinasi Pada Penggunaan Umum PPV (Pusat Pemberian Vaksin) dan model kedua Vaksinasi Di Tapak (On-Site).
Mohamed Azmin berkata, vaksinasi Pada Penggunaan Umum PPV adalah untuk syarikat yang berminat menghantar pekerja mereka menerima vaksinasi di PPV berhampiran dengan lokasi syarikat.
Katanya, model bagi Vaksinasi Di Tapak (On-Site) membenarkan syarikat memilih lokasinya sendiri sebagai PPV, namun mengikut beberapa syarat ditetapkan antaranya:
- Sekurang-kurangnya 1,000 orang pekerja telah mendaftar.
- Sebuah syarikat boleh bergabung dengan syarikat lain dalam kawasan sama untuk mencapai syarat minimum.
- Syarikat dengan anak syarikat di negeri berlainan tidak dibenarkan
“Di samping itu, tempat vaksin yang telah dipilih akan diperiksa terlebih dahulu oleh Pasukan Imunisasi COVID-19 (CITF), MOSTI bagi memastikan kelancaran semasa proses vaksinasi. Mereka juga akan memberi cadangan dan penambahbaikan mengikut kesesuaian tempat.
“Oleh itu, diharapkan inisiatif PIKAS ini mendapat sambutan lebih jitu daripada syarikat lain untuk turut serta.
“Ia bukan sahaja memberi perlindungan dan jaminan kesihatan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan, malah mendorong Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 21 Jun lalu, Mohamed Azmin dalam kenyataan mengambil maklum perkembangan terkini berkaitan kluster baharu Covid-19 yang kebanyakannya berpunca dari tempat kerja.
Beliau menyeru pemain industri yang belum berdaftar dengan PIKAS supaya segera berbuat demikian bertujuan mengelak jangkitan virus daripada terus meningkat dalam kalangan pekerja. – Malaysiapost

