Nurul Huda Abhar
KERAJAAN diminta membenarkan pembukaan semula sektor pelancongan di Langkawi melibatkan individu yang telah menerima vaksin Covid-19.
Ini bagi membolehkan sektor pelancongan di pulau peranginan itu kembali hidup setelah terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga disifatkan sebagai ‘bandar hantu’.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata cadangan gelembung pelancongan bersasar bagi golongan yang telah divaksin mampu memberi sinar kepada sektor pelancongan.
Beliau berkata, difahamkan 35,000 penduduk Langkawi telah divaksin dengan sasaran 70,000 divaksin pada hujung Julai.
“Sehubungan itu saya cadangkan kita buat gelembung pelancongan. Bagi sesiapa yang telah menerima vaksin benarkan mereka memasuki Langkawi.
“Sekurang-kurangnya boleh membantu industri pelancongan di Langkawi. Dalam masa sama mereka dari Langkawi boleh keluar ke tempat lain.
“Dari situ juga kita boleh bangunkan semula pelancongan domestik,” katanya kepada Malaysiapost.
Menyentuh video keadaan Langkawi ibarat ‘bandar hantu’ yang tular di media sosial, Eugene tidak menafikan situasi tersebut lantaran 73 hotel di pulau itu hampir sifar peratus dari segi penghuni dan tempahan.
Menyifatkan situasi itu menakutkan, Eugene yang mewakili pihak hotel di Langkawi meminta tiga faktor utama dititikberatkan kerajaan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan mereka terus bertahan.
Menurut Eugene, langkah pertama adalah ‘Save’ atau berjimat dari segi bantuan yang disalurkan kerajaan termasuk pemberian moratorium, saluran subsidi dan diskaun bil elektrik bagi sektor yang terjejas.
“Kedua ‘sustain’ atau bertahan. Ada sedikit kesukaran bahagian ini jadi kita minta agar moratorium dilanjutkan sehingga akhir tahun. Tetapi masih tiada jawapan. Jika hanya dilanjut hingga Oktober saya risau kerana mungkin keadaan jadi lebih teruk.
“Ketiga adalah strategi. Kita tidak lihat sehingga kini strategi dibentangkan kerajaan secara jelas. Mereka kata pada Oktober tetapi bagi saya itu terlalu lambat,” katanya lagi.
Eugene berkata, usaha pihak hotel di Langkawi untuk terus bertahan dalam situasi pandemik ini antaranya terpaksa memberi pekerja cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji.
Beliau juga menyatakan ada cadangan bagi pihak hotel melakukan penjualan makanan secara pandu lalu untuk memastikan operasi syarikat terus berjalan.
“Ada cadangan untuk buat penjualan makanan secara pandu lalu. Tetapi pada pendapat kami ia tidak boleh membantu dari segi kewangan yang diperlukan kerana hasilnya amat minima.
“Bila kita buat macam itu kita sedang bersaing dengan gerai-gerai di tepi jalan. Mereka juga jual mi goreng, kita juga jual mi goreng.
“Jadi kita minta agar pelancongan domestik dibenarkan bagi individu yang sudah menerima vaksin untuk bangunkan semula sektor pelancongan,” ujarnya.
Baru-baru ini tular video daripada aplikasi TikTok memaparkan situasi Langkawi ibarat ‘bandar hantu’ sejak aktiviti merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan.
Deretan bangunan kedai di pekan Pantai Cenang sunyi sepi, kaki lima dipenuhi daun kering serta keadaan jalan lengang tanpa kenderaan.
Keadaan di persisiran pantai juga suram dan sunyi tanpa kelibat pelancong jika dibandingkan dengan situasi lokasi itu sebelum pandemik muncul sekitar awal tahun lalu.- Malaysiapost

