Suspek beri anak minum arak direman 5 hari

0
1

LELAKI yang ditahan disyaki memberi bayinya minum minuman keras selepas video kejadian itu tular di media sosial semalam, direman lima hari untuk siasatan bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 19 tahun itu dikeluarkan Majistret Khalijah Mohd Khalid di Mahkamah Majistret Balik Pulau di Pulau Pinang pagi ini, lapor Malaysia Gazette.

Suspek yang juga pekerja sambilan di sebuah kedai runcit itu direman sehingga 27 Jun ini.

Semalam suspek ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di Teluk Bahang, Pulau Pinang selepas video dia memberi bayinya minum minuman keras tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah serta berada dalam pengawasan polis (OPP) di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bayi dalam video terbabit dilaporkan dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Mac lalu di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, dekat Teluk Bahang.

Video berkenaan dipercayai dirakam rakannya ketika bayi lelaki itu berusia lima bulan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here