AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan adakah tindakan mengadakan sidang media bagi mengecam parti juga adalah ugutan untuk hayat politik.
Pertanyaan beliau itu berhubung kait tindakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mempertikaikan tindakan Biro Politik Umno memutuskan kerajaan perlu mengadakan sidang Parlimen dalam masa 14 hari sebagai satu ugutan.
Namun begitu, katanya, Speaker juga boleh memanggil sidang Parlimen atas alasan “case of urgency” menggunakan peraturan mesyuarat 9(2)(a) dan sidang Khas Parlimen guna Peraturan Mesyuarat 11(3).
”Maka apa masalah laksanakan titah nasihat YDP Agong agar Parlimen bersidang “secepat mungkin?.
”Apa komen Shahidan dalam Perkara 9(2)(a) dan Perkara 11(3) di atas? Jangan putar belit isu 14 hari,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Puad berkata, apa pun tafsiran mengenai tempoh 14 hari, Umno tetap bertindak untuk rakyat.
Jelas beliau lagi, ia kerana tindakan Umno itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang secekat mungkin.
Shahidan dalam kenyataan semalam dilaporkan bersetuju supaya sidang Parlimen dibuka namun menolak gesaan tempoh 14 hari seperti dinyatakan Umno.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu berkata, tempoh 14 hari itu tidak tepat kerana notis sebenar menuntut Parlimen bersidang adalah 28 hari.
“Kami (Ahli Parlimen BN) bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari.
“Itu (14 hari) sebenarnya tidak tepat dan kalau kerajaan ini tidak berguna, Umno majoriti dalam kerajaan. Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan ahli Umno ramai di dalamnya?,” katanya. – Malaysiapost

