KERAJAAN membenarkan Sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 serta-merta.
KPKT menerusi kenyataan berkata syarikat Kredit Komuniti / Pemberi Pinjam Wang perlu membuat permohonan baharu kebenaran pengoperasian menerusi www.miti.gov.my dengan mengakses Portal CIMS 3.0.
Bagi syarikat Kredit Komuniti di Sabah, Sarawak dan Labuan, kebenaran beroperasi perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkenaan seperti Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS), Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak (JKNS) dan Perbadanan Labuan (PL).
“KPKT selaku agensi mengawal selia aktiviti kredit komuniti telah mengambil beberapa langkah bagi mengemaskini semula prosedur operasi standard (SOP) Sektor Kredit Komuniti (Pemberi Pinjam Wang) untuk mengawal penularan Covid-19 seperti berikut:
(i) Waktu operasi dan bertemu pelanggan dihadkan dari 9 pagi hingga 5 petang;
(ii) Hanya 2 pelanggan dibenarkan berada dalam premis dalam satu-satu masa. Pelanggan digalakkan membuat temujanji sebelum mengunjungi;
(iii) Kapasiti pekerja terhad kepada 60% kehadirantermasuk operasi dan pengurusan;
(iv) Syarikat Kredit Komuniti/ Pemberi Pinjam Wang wajib menyediakan kemudahan QR Code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan;
(v) Pelanggan perlu menjalankan imbasan suhu badan di pintu masuk dan gunakan hand sanitizer sebelum memasuki premis;
(vi) Syarikat KK perlu maklum segera kepada KPKT dan merujuk SOP MKN dan KKM sekiranya terdapat kakitangan atau pelanggan positif Covid-19.
“Pengoperasian Sektor Kredit Komuniti ini merupakan sektor ke-13 yang disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu di bawah Kluster Kerajaan Tempatan di dalam Sistem CIMS 3.0 sepanjang tempoh PKP Fasa 1 ini.
“Sehubungan itu, semua syarikat Kredit Komuniti perlu mematuhi SOP dikeluarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

