PAS nafi Nik Abduh keluar PN

0
2

PAS menafikan dakwaan bahawa Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akan meninggalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presidennya Idris Ahmad berkata, gambar yang ditularkan di media sosial sejak semalam itu didakwa disebarkan pemfitnah dengan matlamat supaya perkara itu dipercayai umum.

“Saya jawab mudah saja, sebab apa tidak sebut 19 MP (ahli parlimen) PAS keluar, tidak sokong PN, baru ‘rare’.

“Tujuan fitnah ini tersebar untuk (wujudkan) pecah belah dalam parti PAS dan PN, untuk menimbul keresahan rakyat, bahawa kerajaan PN akan jatuh, untuk alih isu masalah dalaman musuh PN,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu tular sekeping gambar di media sosial yang bertulis ‘Saya ikut jejak Umno keluar kerajaan PN, PAS, PPBM (Bersatu), Perikatan Nasional. Insya-Allah bersama tujuh ahli Parlimen PAS’.

Idris berkata, modus operandi musuh adalah dengan mensasarkan setiap pimpinan untuk difitnah.

Menurut beliau, pihak yang menyebarkan fitnah tersebut mahu ianya ditularkan dahulu, kerana mereka yakin ada yang percaya walaupun setelah dinafikan.

“Mereka hendak supaya pimpinan sibuk menjawab dan tak sempat hendak menerangkan mengenai perjalanan parti.

“Mereka hendak menimbul keresahan di kalangan ahli dan supaya kejayaan bagi vaksin pada rakyat ditenggelamkan,” katanya.

Sementara itu, Nik Abduh dalam satu hantaran di Facebooknya mengingatkan pihak terbabit supaya tidak ‘bermain’ dengan fitnah.

“Janganlah bermain-main dengan fitnah. Anda sedang mempermainkan peringatan besar nabi kepada umatnya di akhir zaman.

“Ia merosakkan hati dan memalingkannya daripada menerima dan mencintai kebenaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here