POLIS merampas 363 unit mesin simulator dianggarkan bernilai RM5.445 juta yang dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian dalam satu serbuan di Klang, semalam.
Serbuan dijalankan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Pasukan Risikan/Operasi Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) dan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman itu turut merampas 86 kotak minuman keras serta 44,000 batang rokok putih tidak bercukai.
Pengarah JKDNKA Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata polis juga menahan sembilan lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 49 tahun yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran minuman keras dan rokok dipercayai tanpa bayar cukai kastam yang aktif bergiat sekitar Lembah Klang melalui Op Kontraban itu.
“Minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai yang dirampas dianggarkan bernilai RM42,000 dan rokok putih pelbagai jenama yang tidak bercukai pula dianggar bernilai RM36,000.
“Turut dirampas dua lori kontena serta 18 kontena bernilai RM32,000 dengan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5,843,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – Malaysiapost

