VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad menafikan dakwaan kononnya parti itu lebih mementingkan politik dari rakyat semasa wabak Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata, hakikatnya sejak dulu lagi semua perkara berkaitan Umno termasuk politik dan ekonomi adalah untuk rakyat.
“Ada juga yang cuba membawa naratif kononnya Umno lebih mementingkan politik dari rakyat semasa wabak Covid-19 melanda negara.
“Sebenarnya, bagi Umno daripada dulu lagi, politik itu ialah politik rakyat. Begitu juga, ekonomi itu ialah ekonomi rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook.
Bekas Pengerusi Felda itu berkata, sepanjang tempoh pandemik ini, pemimpin dan ahli Umno di peringkat komuniti telah mengerakkan berbagai usaha membantu rakyat.
“Ia termasuk penyampaian bantuan kepada yang terkesan, membantu pendaftaran mySejahtera bagi yang tidak faham dan menyediakan pengangkutan ke pusat vaksinasi untuk mereka yang tidak ada kenderaan sendiri.
“Ini kewajipan kita kerana kita berada di akar umbi dan di tengah-tengah masyarakat. Takkan lah kita nak berpaling pula dari mereka yang benar-benar perlukan pertolongan.” katanya.
Shahrir turut mengingatkan pihak mengkritik Umno supaya melihat semula parti politik mana yang sentiasa bersama rakyat jika bukan Umno.
“Kami bukan Umno kalau tidak membantu. Jadi, bila nak mengata Umno, tengok-tengok juga akan akar umbi parti yang sentiasa bersama masyarakat setempat,” katanya. – Malaysiapost

