SEMUA Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan beroperasi tujuh hari seminggu berbanding di sesetengah lokasi hanya lima hari sahaja buat masa ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mempercepat kadar vaksinasi di seluruh negara sekali gus memenuhi aspirasi Pelan Pemulihan Negara.
Justeru, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bayaran saguhati harian kepada kira-kira 19,000 sukarelawan kesihatan yang bertugas di PPV.
Malah, bayaran daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM180 juta itu turut diberikan kepada sukarelawan sama di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC).
“Kerajaan memutuskan bahawa pusat-pusat pemberian vaksin beroperasi tujuh hari seminggu dengan masa operasi dilanjutkan.
“Justeru, saya mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan supaya dapat ditambah jumlahnya dan bilangan penerima diperluas secepat mungkin.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini saya ingin mengumumkan kerajaan bersetuju supaya bayaran saguhati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 kepada kadar RM100 sehari bagi sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam bermula bulan ini,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir, hari ini. Terdahulu, Perdana Menteri melawat PPV Dewan Serbaguna Pagoh di Muar.
Kerajaan sebelum ini memperuntukan RM147 juta sebagai saguhati kepada sukarelawan berkenaan yang bertugas di lapangan dengan jumlah keseluruhan kini sebanyak RM327 juta.
Kata Perdana Menteri, kenaikan kadar saguhati kepada sukarelawan itu adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus-lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat.
Muhyiddin berkata, langkah itu juga membuktikan keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara yang terus menerus menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari hari ke hari.
“Kita perlu sentiasa ingat, lebih ramai rakyat Malaysia yang divaksinasi, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan Covid-19, apatah lagi pada Julai dan Ogos ini bekalan vaksin dijadualkan diterima kita sekitar 16 juta dos seperti diumumkan sebelum ini.
“Maka, aspirasi kita untuk menaikkan jumlah penerima vaksin daripada hampir 250,000 sehari kepada 400,000 sehari berdasarkan penyampaian vaksin yang kita sudah tempah mungkin boleh dicapai,” katanya. – Malaysiapost

