Lelaki beri arak kepada bayi ditahan

0
1

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memberi minuman keras kepada bayi seperti dalam satu video yang tular di media sosial, hari ini.

Lelaki berusia 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi Teluk Bahang, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 14 rekod jenayah lampau.

“Suspek juga adalah orang dalam pengawasan polis (OPP) di kawasan berkenaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, bayi dalam video terbabit dilaporkan berada dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Mac lalu di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, dekat Teluk Bahang.

“Video berkenaan dipercayai dirakam rakan suspek dan ketika itu bayi lelaki berkenaan baru berusia lima bulan,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 30 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang menyuap arak kepada bayi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here