
SEMUA pihak digesa memainkan peranan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha melandaikan lengkuk Covid-19, walaupun jumlah kes jangkitan sudah menurun sehingga kurang daripada 5,000 sehari.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengingatkan orang ramai supaya tidak berasa selesa dengan trend kes yang dilihat masih tidak stabil dan pematuhan SOP perlu dikekalkan segenap lapisan masyarakat.
“Justeru, saya berharap semua pihak memainkan peranan ini termasuk meningkatkan kawalan kendiri untuk keselamatan dan kesihatan bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau melaporkan seramai 959 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dan daripada jumlah itu, 923 individu dikompaun manakala 36 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (251), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (198), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (144), tidak memakai pelitup muka (134) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84).
“Kesalahan lain adalah membawa penumpang berlebihan (64), premis gagal patuhi arahan (19), aktiviti pusat hiburan (4) dan lain-lain (61),” katanya.
Menurutnya, bagi kawalan sempadan negara melalui Op Benteng pula seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tujuh kenderaan darat serta empat bot dan kapal dirampas.
“Dalam operasi itu, sebanyak 158 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 13 aktiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost
