POLIS merakam keterangan 11 individu berhubung penularan maklumat di aplikasi WhatsApp berkenaan penahanan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Perasing, Terengganu, baru-baru ini.
Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata siasatan dijalankan susulan penularan hantaran yang mendapat 9,300 perkongsian selain memaparkan gambar Mohd Khairuddin tersebut bersama seorang wanita.
Abd Jalil berkata, siasatan kes itu masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memuat naik hantaran tersebut.
Beliau berkata, pihaknya juga akan merakam percakapan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan kes ini.
“Sebarang bentuk penyebaran berita palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua percakapan dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Mei lalu, tular dalam mesej WhatsApp melibatkan Mohd Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama wanita yang dikatakan Mawar Karim semasa ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Perasing.
Mawar yang pernah menjadi isteri kepada pelakon, Fizo Omar didakwa dilihat berada di dalam kereta yang sama dalam kereta Khairudin.
Namun begitu, Mohd Khairuddin dilaporkan menafikan beliau adalah individu yang ditahan semasa di SJR di kawasan Perasing bersama wanita terbabit. – Malaysiapost

