KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk membenarkan kedai fotostat, alat tulis, buku, komputer beroperasi pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PMN).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memahami situasi kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai terutama ibu bapa yang anak mereka bersekolah melalui pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).
Katanya, untuk peralihan dari fasa pertama ke fasa kedua, tiga syarat utama mesti dipenuhi sebelum kerajaan mempertimbangkan perniagaan yang berkaitan dibenarkan beroperasi.
“Saya pun tak kata kedai buku akan dibuka, cuma saya bayangkan iaitu fasa dua nanti ada sedikit pertimbangan kelonggaran. Tapi tiga syarat tu mesti dipenuhi.
“Peratusan vaksinasi, jangkitan mesti kurang daripada 4,000, dan katil ICU mesti kurang dari segi penggunaannya,” katanya ditemui media di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, ramai ibu bapa merungut tidak dapat membeli alat tulis dan membuat salinan kerja sekolah untuk anak-anak mereka kerana bukan semua keluarga memiliki mesin pencetak. – Malaysiapost

