EMPAT singa di Taman Zoologi Arignar Anna di Vandalur, Tamil Nadu disahkan positif Covid-19.
Menurut laporan India Times, hasil penjujukan genom ke atas sampel empat singa itu mendapati kesemuanya tergolong dalam kumpulan Pangolin B.1.617.2 dan merupakan varian Delta.
Pada 11 Mei lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan garis keturunan B.1.617.2 sebagai varian yang membimbangkan, kata wakil pengarah zoo itu.
Di zoo sama, seekor singa jantan bernama Pathbanathan, berusia 12 tahun mati kerana Covid-19 minggu ini.
Ia kejadian kedua yang melanda zoo itu selepas kehilangan seekor singa betina berusia sembilan tahun akibat wabak sama pada 3 Jun.
Pihak berkuasa India juga telah menguji puluhan gajah untuk virus tersebut di sebuah hutan simpan.
Sementara itu, zoo utama di Sri Lanka juga telah memohon bantuan India untuk merawat seekor singa yang didapati positif Covid-19 yang merupakan kejadian pertama seumpamanya di Sri Lanka. – Malaysiapost

