Azmin jelaskan kenapa sesetengah sektor dibenarkan beroperasi

0
2

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menjelaskan mengapa Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) membenarkan sesetengah sektor beroperasi sedangkan negara berada di bawah perintah ‘total lockdown’.

Menteri Kanan itu berkata beliau faham perkara tersebut sering dipersoalkan namun menjelaskan keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ia sebahagian rantaian bekalan produk dan perkhidmatan perlu.

Ini katanya termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.

“Namun begitu, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, pihak kami tidak teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘total lockdown’ bagi melindungi nyawa dan kesihatan rakyat.

Katanya, meskipun tindakan itu akan menjejaskan ekosistem ekonomi negara, namun kerajaan tidak akan sesekali berkompromi soal hidup dan nyawa rakyat.

Berikutan itu, katanya, MITI telah memperkenalkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) khusus kepada pekerja di bawah sektor pembuatan, bermula 16 Jun lalu.

“Melihat kepada data Kementerian Kesihatan (KKM), saya maklum kluster baharu sekarang kebanyakannya dari tempat kerja.

“Oleh itu, kita laksanakan PIKAS bagi mengelakkan jangkitan virus dari terus meningkat dalam kalangan pekerja, terutamanya dalam subsektor pembuatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here