309 PATI ditahan di Dengkil

0
1

JABATAN Imigresen menahan 309 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan penempatan sebuah tapak pembinaan di Dengkil, awal pagi hari ini.

PATI melibatkan 280 lelaki dan 29 wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu adalah sebahagian daripada 715 individu diperiksa dalam operasi bersepadu terbabit.

Mereka terdiri 193 warga Indonesia, Bangladesh (102), Myanmar (lapan), Vietnam (empat) dan India (dua).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menerusi kenyataan berkata operasi dijalankan susulan maklumat awam mendakwa penempatan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Susulan itu, pihaknya menyerbu kawasan berkenaan dan mendapati ia tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Penempatan mereka begitu padat, kotor dan tiada sistem saliran perparitan lengkap, selain mempunyai tempat untuk berkumpul serta makan secara beramai-ramai.

“Hasil temu bual dengan mereka, pendatang terbabit juga mengaku tinggal beramai-ramai dalam sesebuah bilik, iaitu sekitar empat hingga tujuh orang,” katanya.

Mengenai terdapat wanita Indonesia dikesan tinggal bersama pasangan, Khairul Dzaimee berkata, suami mereka dipercayai masuk terlebih dahulu untuk bekerja di Malaysia.

“Wanita warga Indonesia terbabit memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terus tinggal melebihi tempoh ditetapkan. Mereka juga tinggal bersama suami yang bekerja secara haram di negara ini.

“Semua PATI berkenaan akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini,” katanya.

Selepas itu, beliau berkata, mereka akan ditahan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sebelum proses pengusiran ke negara masing-masing dilakukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here