AHLI Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu dianjurkan oleh pejabat Ahli Parlimen itu.
“(Menteri Kesihatan) Dr Adham Baba, apakah ada arahan khusus untuk ujian saringan komuniti sekarang?
“Program ujian komuniti (pandu lalu) kami dihentikan oleh pihak berkuasa pagi ini, (serta) mengancam membatalkan lesen doktor. Ini mengarut,” ciapnya di Twitter.

Bee Yin berkata pihak berkuasa sepatutnya memberi tumpuan kepada klinik dan hospital swasta yang mengenakan bayaran lebih RM100 bagi individu yang ingin melakukan ujian Covid-19.
Beliau juga menggesa Dr Adham mengeluarkan garis panduan jelas berhubung ujian komuniti Covid-19.
“Ini kerana setiap pusat kesihatan daerah diberi kuasa memutuskan sama ada mahu membenarkan ujian massa atau tidak, tetapi dikatakan Jabatan Kesihatan menghalang ujian seumpama itu.
“Pegawai bimbang program seperti ini menarik orang ramai, tetapi bagaimana program pandu lalu boleh menyebabkan perkara itu?
“Selain itu, kakitangan yang membuat saringan juga mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya dipetik Malaysiakini.

Semalam, Sin Chew Daily melaporkan polis dan pegawai Jabatan Kesihatan Johor menghentikan ujian saringan secara pandu lalu itu, yang hanya mengenakan bayaran RM30 untuk kit RTK-Antigen.
Menurut Sin Chew, tindakan itu dilakukan kerana bimbang ia akan menarik orang ramai dan sekali gus mencetuskan penularan wabak.
Bagaimanapun, laporan itu memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Ng Yak Howe berkata, program sama yang dijalankan wakil rakyat di Johor Bahru dan Kulai tidak dihentikan. – Malaysiapost

