PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Mega di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, mula dibuka hari ini.
UiTM menerusi kenyataan memaklumkan, ia adalah PPV kedua universiti itu selepas UiTM kampus Puncak Alam.
“Ia mula beroperasi jam 8 pagi hingga 5 petang dan mampu memuatkan seramai 1,500 penerima vaksin pada satu-satu masa.
“Pusat ini dilengkapi fasiliti dengan ruangan parkir 800 kenderaan, kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas serta ruang pemantauan.
“Ia akan memberi manfaat yang besar kepada warga Selangor dan keutamaan kepada mereka yang berdaftar melalui MySejahtera,” kata kenyataan itu.
Pengoperasian PPV itu melibatkan 250 kakitangan terdiri petugas barisan hadapan dan pegawai dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) UiTM Shah Alam.
Kata kenyataan itu, sukarelawan pula terdiri staf UiTM, pelajar dan alumni. – Malaysiapost

