53 kes bunuh diri dalam tempoh 5 bulan di Pulau Pinang

0
1
kesihatan mental

SEBANYAK 53 kes bunuh diri direkodkan di Pulau Pinang dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, dedah Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow berkata, data itu dikongsi Ketua Polis Pulau Pinang dalam mesyuarat hari ini, yang turut memaklumkan sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri atau purata lima kes sebulan dalam tempoh sama.

“Peningkatan perangkaan berkaitan (kes bunuh diri) akan diberi perhatian khusus oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Yang mana aspek penekanan kesihatan mental juga perlu diberikan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, JKNPP memaklumkan perebakan jangkitan Covid-19 di tempat kerja di negeri itu dilaporkan masih mencatatkan jumlah tertinggi.

Beliau berkata, ia membabitkan 27 kluster kilang dan tiga bukan kilang, sementara tapak bina dan komuniti masing-masing dua kluster.

“Manakala, pusat tahanan serta keagamaan masing-masing mencatat satu kluster.

“Dari aspek penguatkuasaan, sebanyak 101 buah kilang diarahkan tutup ekoran perebakan jangkitan Covid-19 dalam tempoh Januari hingga 20 Jun lalu.

“Ia membabitkan sebanyak 45 buah di daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (36); Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga buah di Seberang Perai Utara dan Timur Laut,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, sebanyak enam pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Pulau Pinang diluluskan bagi merancakkan lagi proses imunisasi sektor industri/perkilangan di negeri berkenaan.

Selain PPV Bukit Jawi Golf Resort yang beroperasi sejak 16 Jun lalu tambahnya, PIKAS di Hotel Equatorial di Bayan Baru akan mula beroperasi pada 28 Jun ini.

“PPV lapangan lain kelak membabitkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn Bhd; Jabil Circuits Sdn Bhd; Plexus Manufacturing Sdn Bhd masing-masing di Bayan Lepas dan terkini Inari Amerton Berhad di Batu Kawan.

“Semua PPV berkenaan akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat-syarikat lain sehingga dilaksanakan sepenuhnya membabitkan sektor berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here