Nurul Huda Abhar
KEPUTUSAN mengenai tarikh pemilihan Umno akan diputuskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, Umno mempunyai tempoh sehingga 30 Jun ini untuk membuat keputusan berkenaan pemilihan parti.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, berdasarkan situasi semasa Covid-19, keperluan mengadakan pemilihan parti adalah atas pandangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan jawapan dan saya telah mendapatkan jawapan tetapi tidak boleh berkongsi di sini.
“Walau bagaimanapun kita tunggu apa keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi,” katanya dalam program Sudut Pandang bersama Malaysiapost.
Ahmad berkata, mengikut Fasal 10.16 perlembagaan Umno, Ahli MKT boleh menangguhkan pemilihan parti sehingga 18 bulan daripada tarikh bila ia patut diadakan.
“Itu dalam perlembagaan Umno, sama ada perkara itu dilakukan atau tidak terpulang kepada keputusan majoriti Ahli MKT,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, MKT Umno memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah RoS dan Ketua Pengarah MKN bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk Umno menjalankan pemilihan parti tahun ini.
Ia satu daripada beberapa ketetapan diputuskan dalam mesyuarat MKT Umno pada pada 25 April lalu, selain desakan terhadap kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang. – Malaysiapost

