UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan berkata kegagalan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.
“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Umno menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
“Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Umno berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat.
“Ini kerana rakyat sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.
“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya.
Ahmad Zahid malam tadi mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno yang diadakan secara dalam talian. – Malaysiapost

