PEKERJA perkhidmatan penghantaran yang dikompaun sewaktu berada di parkir motosikal di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara seperti yang tular dalam satu video di Twitter hari ini, dikesan melakukan kesalahan berkumpul.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan video berkenaan Twitter hari ini yang menurut pemilik akaun media sosial itu adik lelakinya dikompaun ketika baru pulang dari kerja sebagai ‘rider’ perkhidmatan penghantaran ketika berada di parkir motosikal.
“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku semalam, kira-kira jam 8.30 malam sewaktu Pasukan Pematuhan Op Covid-19 yang terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam membuat pemantauan di kawasan terbabit.
“Pasukan pemantauan mendapati dua remaja sedang melepak di atas motosikal tanpa menghiraukan kehadiran pasukan berkenaan.
“Sewaktu disoal mereka memberikan alasan hanya duduk dan makan roti di parkir tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kompaun kemudian dikeluarkan mengikut Peraturan 17, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di atas kesalahan lain-lain aktiviti yang tidak dibenarkan iaitu berkumpul.
“Orang ramai dinasihatkan untuk bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan secepat mungkin.
“Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan sosial boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat sukar dibendung,” katanya. – Malaysiapost

