Nurul Huda Abhar
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan tiada mana-mana pihak mendekatinya untuk menandatangani sebarang Akuan Bersumpah (SD).
Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu mengakui wujud Akuan Bersumpah dalam kalangan Ahli Parlimen yang hangat diperkatakan saat ini.
“Saya secara peribadi tiada sesiapa mendekati untuk tanda tangan apa-apa. Perkara berkenaan SD memang saya ada dengar dan saya tidak menafikan kewujudannya.
“Usaha sedemikian memang sedang dibuat, bagaimanapun saya secara peribadi dan ada rakan-rakan yang lain tidak didekati untuk tanda tangan apa-apa,” katanya dalam program Sudut Pandang bersama Malaysiapost.
Seramai 15 wakil ketua parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 9 Jun, sebelum ia berakhir 14 Jun lalu.
Keadaan itu sekali gus menghangatkan kembali suhu politik negara apabila timbul spekulasi dan cadangan daripada pemimpin politik susulan daripada sesi menghadap berkenaan.
Antara lain, isu penjajaran politik baharu kembali hangat diperkatakan, selain khabar angin wujud gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen.
Sementara itu, Ahmad menjelaskan, sebarang keputusan berkaitan dengan mengembalikan mandat rakyat boleh dilaksanakan selepas negara mencapat ‘herd imunity’ atau imuniti kelompok.
“Setakat inilah kerajaan yang ada. Belah sana (pembangkang) mungkin ada usul-usul tertentu. Kita harap jika herd imuniti tercapai sebulan dua selepas itu saya harap kita tidak ada pilihan lain kecuali menyerahkan kepada rakyat untuk membuat mandat baru,” ujarnya. – Malaysiapost

