Segerakan sidang Parlimen, jangan tambah krisis – Ahmad Maslan

0
1
Ahmad Maslan

Nurul Huda Abhar

SEMUA pihak perlu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi mengelak wujud krisis Perlembagaan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jangan ditambah krisis sedia ada kerana Malaysia kini sedang dilanda empat krisis serentak.

“Pertama krisis Covid-19, kedua krisis ekonomi. Dua-dua ini berlaku di setiap negara di dunia. Ketiga adalah krisis politik yang kebanyakan negara lain tidak berlaku.

“Keempat krisis keyakinan. Rakyat tidak yakin banyak perkara. Tak yakin dengan kerajaan, SOP (prosedur operasi standard), vaksin dan banyak lagi. Jangan pula tambah lagi dengan krisis Perlembangaan.

“Krisis Perlembangaan ialah apabila Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen, tidak sehaluan dan Kabinet menteri tidak sehaluan dengan Raja-Raja,” katanya dalam temubual eksklusif menerusi program Sudut Pandang bersama Malaysiapost.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lalu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Ia bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sehingga kini tidak ada satu pun kerajaan di dunia menggantung Parlimen kerana wabak Covid-19.

Menurutnya, tindakan Malaysia menggantung sidang Parlimen atas alasan situasi Covid-19 akan memburukkan imej negara di mata dunia.

“Covid-19 boleh diatasi walaupun sidang Parlimen berjalan, walaupun tidak ada darurat. Pun demikian Majlis Raja-Raja berpendapat pada 1 Ogos darurat tidak lagi perlu diteruskan.

“Kerana suara-suara di bawah sana menyatakan darurat ini bukan darurat kesihatan tetapi lebih kepada darurat politik.

“Oleh itu pada hemat saya, cara nak menyesaikan kemelut ini, segeralah bersidang segera, vaksinkan pihak-pihak berkaitan dan junjung kasih terhadap titah,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here