POLIS Bentong mengesan 104 pesalah trafik yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan iaitu 90 KM/J di sepanjang laluan Lebuhraya Karak semalam.
Jumlah kesalahan itu dikesan dalam tempoh kurang lima jam menerusi Op Had Laju di Kilometer 65 Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur.
Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong itu bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Operasi itu turut dibantu sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.


Ketua Polis Daerah Bentong Supt. Zaiham Mohd Kahar berkata walaupun operasi dan penguatkuasaan sering dijalankan, masih ada yang memandu kenderaan dan menunggang motosikal melebihi had laju ditetapkan.
“Sesiapa yang didapati memandu melebihi had yang ditetapkan boleh disaman sehingga maksimum RM300,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau memandang serius isu pemandu yang memandu melebihi had laju yang mengundang kemalangan.
Sehubungan itu katanya, operasi secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya khususnya di daerah Bentong mematuhi peraturan ditetapkan. – Malaysiapost

