PENYANDANG juara Piala Dunia, Perancis mempamerkan aksi ‘gementar’ di hadapan puluhan ribuan penyokong Hungary dan terpaksa akur seri 1-1.
Berlainan dengan venue lain, Arena Puskas, Budapest adalah satu-satunya gelanggang Euro 2020 membenarkan kehadiran penonton dengan kapasiti penuh.
Perancis yang menguasai hampir keseluruhan babak pertama dikejutkan Hungary menerusi jaringan oleh Attila Fiola pada masa kecederaan sebelum menuju rehat.
Bersambung babak kedua, Perancis tampak masih bergelut untuk menembusi benteng kebal Hungary yang bermain secara bertahan.
Namun Antonio Griezmann mendiamkan penyokong tuan rumah apabila mudah merembat masuk susulan sepakan lemah pertahanan Hungary di hadapan gawang pada minit ke-66.
Perlawanan akhirnya berkesudahan seri dengan Hungary menyambut keputusan itu ibarat meraih kemenangan dan turut dirayakan oleh 67,215 penyokong.
Arena Puskas telah menimbulkan suasana berbeza berbanding gelanggang lain yang mengetatkan kehadiran jumlah penonton akibat Covid-19.
Sebilangan besar mengibarkan bendera Hungary yang berwarna hijau, putih dan merah, manakala ada yang memakai kemeja T berwarna hitam. – Malaysiapost

