ANGGAPAN kononnya apabila sudah menjadi kerajaan, ahli PAS tidak perlu lagi menderma untuk parti hendaklah dikikis, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.
Ini kerana, katanya wang kerajaan adalah milik rakyat, sebaliknya wang parti dari poket ahli sendiri.
“Jangan menjadi seperti sebuah parti sebelum ini yang bergantung sumber kewangan daripada kerajaan, apabila kalah dan tidak lagi menjadi kerajaan, parti itu mula mereput.
“Oleh itu PAS jangan beralih arah untuk bergantung sumbangan dan bantuan kerajaan untuk tadbir parti,” kata Menteri Besar Kedah itu seperti dilapor Harakah Daily.
Beliau berucap pada Konvensyen Penerangan dan Media Baharu anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat secara dalam talian semalam.
Muhammad Sanusi berkata, setiap petugas parti perlu memahami tanggungjawab berat terpaksa dipikul ketika ini apabila PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Katanya, selaku kerajaan apa yang dikata mesti dilaksanakan, berbeza di pihak pembangkang yang hanya bercakap tidak perlu melakukan apa-apa tindakan.
“PAS juga mempunyai pengalaman sebagai pembangkang. Ketika itu sebahagian pemimpinnya bercakap seolah-olah tiada sempadan tapi Alhamdulillah mereka itu sekarang sudah keluar dari PAS dan berpindah ke parti lain.
“Sekarang berbeza, bila cakap kena buat, bersandar kepada fakta dan keupayaan serta realiti kemampuan untuk melaksanakannya,” katanya.
Justeru, katanya beliau akur dengan pencapaian terbaik kerajaan PAS Kelantan yang sudah 30 tahun mentadbir, begitu juga Terengganu yang banyak melaksanakan program-program kebajikan kepada rakyat.
Maka, beliau berkata ia perlu disebarkan kepada negeri-negeri lain agar kemampuan PAS mentadbir negeri diketahui rakyat.
Sementara itu beliau secara peribadi berpuas hati dengan pencapaian selama setahun di Kedah menerusi kerjasama berpasukan yang mantap.
“Di Kedah, parti dan kerajaan tidak ada masalah dan itu juga antara yang boleh melonjakkan kejayaan dalam tempoh setahun ini. Tentunya perkara ini menjadi kecemburuan pihak musuh,” katanya lagi. – Malaysiapost

