“JIKA Perdana Menteri tidak mahu membuka Parlimen, akan berlaku pertentangan krisis Perlembagaan antara Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan,” kata penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam.
Beliau berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah kerana baginda sudah bertitah supaya Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.
Mengulas mengenainya Ramlah berkata, titah Al-Sultan Abdullah supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin perlu diikuti dan disegerakan oleh kerajaan.
Katanya, dua kemungkinan boleh berlaku sekiranya titah baginda tidak dilaksanakan segera iaitu Al-Sultan Abdullah boleh memilih kerajaan baru atau pemerintahan negara diketuai tentera.
“Pelantikan Perdana Menteri adalah atas kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam keadaan sekarang (darurat), baginda sudah bertitah supaya Parlimen dibuka dan arahan itu perlu diikuti.
“Jika tidak ikut, selain bubar kerajaan sekarang, kita boleh adakan pemerintahan tentera kerana baginda selaku Ketua Turus Tentera negara,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.
Ramlah menambah, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik buat negara bagi mengelak ekonomi merudum dan pelabur lari berikutan ketidakstabilan politik di Malaysia.
Ramlah yang juga pakar sejarah berkata, selain itu, Majlis Raja-Raja sudah bersidang dan membuat keputusan supaya Parlimen dibuka dengan segera.
“Baginda sudah mengeluarkan dua kenyataan sama bermaksud perkara ini perlu diambil serius,” katanya.
Jumaat lalu, Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja dihadiri lapan Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan sebelum ini berkata, pembukaan sidang Parlimen bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.
“Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost

