Parlimen Hibrid: Buang masa Guan Eng gaduh dengan Speaker

0
1

DATUK Seri Najib Razak menegur Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng dan partinya yang mempertikaikan Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid susulan tiada seorang pun wakil pembangkang dalam jawatankuasa itu.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu menyifatkan tindakan pembangkang sia-sia dan membuang masa kerana Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tidak menitahkan sidang Parlimen diadakan secara hibrid.

“Buang masa betul Guan Eng dengan DAP ni nak gaduh-gaduh dengan Speaker Parlimen kenapa nama mereka tidak ada dalam Jawatankuasa untuk kaji parlimen hibrid.

“YDP Agong dan Raja-Raja Melayu titah untuk Parlimen sambung secepat mungkin.

“YDP Agong dan Raja-Raja Melayu tak titah untuk korang pergi kaji nak buat Parlimen hibrid ke tidak. Dilantik dalam jawatankuasa kaji Parlimen hibrid ada elaun ke apa?,” kata Najib di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP itu menerusi kenyataan berkata mengenepikan wakil Pembangkang dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid mengenai bentuk, prosedur dan format Parlimen hibrid adalah satu duluan berbahaya.

Guan Eng berkata ia bukan sahaja melanggar konvensyen Parlimen, malah penyalahgunaan kuasa yang mengikis prinsip asas Parlimen sebagai sumber punca demokrasi.

Sehubungan itu, beliau berkata, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dinamakan wakil Pakatan Harapan (PH) bagi Jawatankuasa Khas Parlimen Hybrid.

Dalam pada itu Najib juga menegaskan sidang Parlimen boleh diadakan seperti kelazimannya memandangkan semua Ahli Parlimen telah disuntik vaksin Covid-19.

“Jika jutaan pekerja kilang yang belum divaksin terpaksa bekerja tiap-tiap hari dalam tempoh Lockdown ini, tiada sebab 220 Ahli Parlimen yang telah selesai divaksin takut untuk hadir Parlimen melainkan korang percaya vaksin tak berkesan.

“Pada hari terakhir Parlimen bersidang pada 15 Disember lalu, jumlah kes baharu hari itu sudah 1,772. Masa itu saya tak tengok korang takut pun walaupun belum dicucuk setitik vaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here