DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu empat premis sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam.

DBKL dalam kenyataan berkata, pemeriksaaan dibuat terhadap empat premis yang menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan perniagaan borong buah-buahan, sayuran, barangan am dan sejuk beku.
Katanya, kesalahan yang dikesan antaranya premis yang mengunakan pekerja warga asing tanpa kebenaran sah serta individu gagal mematuhi SOP PKP 3.0.
“Enam notis kompaun dikeluarkan menerusi Peraturan 16, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 melibatkan kesalahan terhadap empat pemilik premis yang gagal mematuhi SOP PKP.
“Iaitu tidak mematuhi waktu operasi premis perniagaan ditetapkan dan dua notis kompaun terhadap individu yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar semasa memasuki premis,” kata kenyataan itu hari ini.
DBKL berkata, satu kompaun juga dikeluarkan kepada pemilik premis kerana menggaji pekerja warganegara Myanmar tanpa kebenaran sah di bawah UUK 20(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan dan Tred 2016.
Jelas kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan terbabit merupakan operasi kali ketiga di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
DBKL turut mengingatkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan individu di Kuala Lumpur agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
“Tindakan ini akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga tamat tempoh PKP dikuatkuasakan,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/DBKL

