KEGAGALAN melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah supaya Parlimen dapat bersidang secepat mungkin boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.
Sehubungan itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pergerakan itu akan mendesak kepimpinan tertinggi Umno untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.
“Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan Umno untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata sewajarnya istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Seri Paduka Baginda amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera.
Malah katanya, ia diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan sokongan Raja-Raja Pemerintah yang turut senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
“Pemuda amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Pemerintah.
“Bagi Pemuda Umno, sidang Parlimen ini amat mustahak disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan tuntutan rakyat yang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik Covid-19, dapat diperbahaskan dan diangkat secara rasmi oleh wakil mereka yang dipiilih melalui sistem demokrasi berparlimen.
“Justeru, Pemuda Umno mendesak kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat 1 Ogos 2021,” katanya.
Beliau berkata ia bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah. – Malaysiapost

