Covid-19: Keselamatan vaksin jenis mRNA kekal positif

0
1
vaksin covid pkp

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan profil keselamatan vaksin Covid-19 jenis mRNA kekal positif dan penggunaannya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak terjejas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada laporan kesan sampingan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) spesifik untuk miokarditis atau perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA diterima oleh KKM.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya satu jenis vaksin mRNA sahaja, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.

Menurutnya, sehingga 13 Jun lalu, sejumlah 2,793,826 vaksin Comirnaty diberi kepada penduduk negara ini melibatkan 1,676,959 dos pertama dan 1,116,867 dos kedua, namun tiada laporan berkenaan risiko itu diterima Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Sehingga kini, tiada tindakan regulatori diambil oleh badan-badan rujukan antarabangsa lain seperti Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia ((WHO) ke atas produk vaksin jenis mRNA itu.

“Penilaian masih dijalankan bagi menentukan hubung kait isu ini dengan vaksin Covid-19 jenis mRNA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia selepas beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura baru-baru ini melaporkan berkenaan risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA.

Dr Noor Hisham berkata, miokarditis merupakan radang pada otot jantung sementara perikarditis merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung.

“Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis atau pericarditis termasuklah sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

“NPRA telah menjalankan penilaian risiko ke atas isu keselamatan berkenaan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, manfaat semasa bagi pemberian vaksin jenis mRNA adalah jauh melebihi risikonya

Sementara itu, beliau berkata, KKM sentiasa menjalankan pemantauan berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin sentiasa terjamin.

Selain itu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan untuk mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here