Secepat mungkin tak boleh ditafsir beberapa bulan – Zahid

0
1

TITAH Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu bersidang ‘secepat mungkin’ tidaklah sepatutnya ditafsirkan dalam tempoh beberapa bulan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tafsiran itu seolah-olah menyanggah elemen kebijaksanaan, keprihatinan dan kecaknaan dalam titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Saya berpandangan apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, maka secepat mungkin ia perlu diadakan.

“Benar tafsiran ‘secepat mungkin’ bersifat subjektif, namun bukankah masih ada aspek-aspek untuk mentafsirkannya.

“Tafsiran ‘secepat mungkin’ bergantung kepada keadaan atau sesuatu perkara. Ini ‘common sense’ yang murid sekolah pun tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberi contoh, guru ketika mengajar mengarahkan murid membuka buku teks secepat mungkin, maka tempoh beberapa saat adalah ‘secepat mungkin.

“Jika guru meminta murid menyiapkan kerja rumah secepat mungkin, maka tempoh beberapa hari adalah ‘secepat mungkin’.

“Secara umum jika sesuatu itu mudah dilakukan, maka tempoh beberapa saat, minit atau jam atau hari adalah ‘secepat mungkin’.

Jika sesuatu yang sukar maka tempoh beberapa minggu, bulan atau tahun mungkin ditafsirkan sebagai ‘secepat mungkin’,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata dalam hal persidangan Parlimen, ia adalah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sama ada secara fizikal mahupun maya.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Raya-Raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan Covid-19.

Selepas pertemuan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan, persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Majlis Raja-raja Melayu juga mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam reaksinya berkata kenyataan Agong itu tidak disertakan tarikh tertentu.

“Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin. Perdana Menteri kita kata pun bulan 9 atau 10. Sekarang kita dah hampir penghujung bulan 6, bulan 7, 8, 9 pasti akan diadakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here