Sabah, Negeri Sembilan sedia adakan sidang DUN

0
1

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Negeri Sembilan bersedia untuk kembali bersidang jika keadaan mengizinkan.

Ia susulan Yang di-Pertuan Agong menyatakan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Menerusi kenyataan hari ini, kerajaan Sabah memaklumkan kesediaan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa, jika keadaan mengizinkan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata keputusan untuk membuka semula persidangan DUN akan dimaklumkan selepas mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami akan meminta nasihat MKN terlebih dahulu dan sedia untuk bersidang semula dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, beliau sudah berbincang dengan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya mengenai perkara itu, semalam.

“Ia sebagai susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin,” katanya.

DUN Sabah bersidang kali terakhir pada 18 hingga 23 Disember lalu bagi membentang dan membahas Belanjawan Negeri 2021.

Sementara itu, Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam masa terdekat bagi menentukan tarikh sesuai untuk sidang DUN dijalankan.

Katanya, perbincangan untuk menetapkan tarikh sidang DUN selari pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong yang mengusulkan Parlimen segera bersidang.

“DUN Negeri Sembilan menjunjung kasih dengan pendirian baginda, kita juga sememangnya mahu sidang DUN segera dilaksanakan, banyak perkara yang perlu kelulusan DUN.

“Tambahan pula dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dan ia perlu dibincangkan di dalam DUN termasuk hal membabitkan kepentingan rakyat dan negeri ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagaimanapun Zulkefly berkata, persidangan DUN wajar diadakan selepas Parlimen bersidang terlebih dulu seperti kelaziman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here