PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya meletakkan keutamaan kepada perbincangan mengenai isu negara dan rakyat apabila persidangan Parlimen dibuka.
Bung Moktar berkata, semua pihak perlu melupakan pergeseran politik dan perebutan kuasa agar persidangan Parlimen dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu negara keluar daripada kemelut ekonomi dan kesihatan awam.
Beliau berkata, ia juga sebagai tanda terima kasih terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Katanya, pihaknya menyambut baik titah Al-Sultan Abdullah serta menyanjung tinggi kebijaksanaan baginda sebagai ketua negara yang meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap tinggi.
“Keputusan ini membuktikan tuanku mengutamakan prinsip Keluhuran Perlembagaan yang selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan ahli yang berhormat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau berharap semua Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang dapat mengambil peluang itu untuk membincangkan masalah negara secara serius.
“Bahaskanlah secara serius dan objektif untuk mencari jalan keluar daripada segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi sekarang.
“Ini adalah peluang untuk semua Ahli Parimen mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat di peringkat akar umbi yang ketika ini berdepan susana getir masalah penularan pandemik Covid-19 dan ekonomi,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Ia bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan. – Malaysiapost

