Agong boleh panggil sidang Parlimen tanpa nasihat PM – Noh Omar

0
2

YANG di-Pertuan Agong boleh memanggil sidang Parlimen tanpa perlu mendapat nasihat daripada Perdana Menteri ketika Ordinan Darurat dilaksanakan.

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata menurut tafsirannya sebagai peguam, Ordinan Darurat mengatasi Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

“Parlimen perlu bersidang secepat yang mungkin. Sebagai Ahli Parlimen Tanjung Karang patik menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda supaya Parlimen perlu bersidang secepat yang mungkin kerana inilah yang patik suarakan selama ini.

“Saya harap kerajaan akan segera mengadakan sidang Parlimen sepertimana dititahkan yang selari dengan Seksyen 14 Ordinan Darurat yang menyebut Parlimen hendaklah dipanggil, di prorog atau dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan tidak terkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan Istana Negara semalam, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” titahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here