“TIADA satu pun ayat yang memperakui keberkesanan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata demikian mengulas pandangan yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas sesi perbincangan Khas Majlis Raja-Raja itu di Istana Negara, petang semalam.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ternyata apa yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah menjurus kepada kebimbangan dan keresahan sebagaimana yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.
“Bahasa bahasa istana yang dizahirkan melalui kedua-dua pernyataan dikeluarkan menjurus kepada kebimbangan bersulam keresahan.
“Ia sebagaimana didepani rakyat dengan keadaan negara serta kehidupan ketika ini termasuk keadaan Covid-19 yang semakin parah meskipun kerajaan PN telah diberi kuasa penuh kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Najib berkata, amat jelas jelas pendirian yang dititahkan baginda dan Raja Raja Melayu adalah berkecuali, namun mahukan nyawa dan kehidupana rakyat diutamakan.
“Demikian juga pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau menjunjung kasih dan menyokong penuh kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan berkenaan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Ia bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan. – Malaysiapost

