SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) disaran supaya menumpukan kajian dalam isu lebih mendesak dan relevan dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini berbanding isu jantina ketiga.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berpendapat adalah lebih baik untuk suruhanjaya itu menggunakan peruntukan diberikan Kerajaan bagi mengkaji isu yang lebih relevan dengan situasi pandemik yang mendesak, terutamanya berkaitan dengan hak asasi golongan rentan, wanita dan kanak-kanak.
Menurutnya, kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus yang mengatakan bahawa isu transgender adalah satu ‘medical condition’ yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup adalah sangat mengecewakan dan jelas menyimpang daripada fakta sebenar dan juga ajaran Islam.
Katanya, hujah bahawa hak asasi seseorang itu tidak boleh diketepikan semata-mata kerana dia dilahirkan sebagai transgender yang mempunyai ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrahnya sangat sukar untuk diterima akal.
“Jiwa yang bertentangan dengan fitrah perlu diuruskan supaya ia tidak merosakkan diri dan masyarakat.
“Kalaulah semua perkara boleh dilakukan dengan menggunakan hujah ‘jiwa’, nescaya huru-hara dan kucar-kacirlah dunia kerana kita perlu meraikan segala jenis benda haram yang menjadi kecenderungan manusia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook malam tadi.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Mohd Hishamudin semalam berhubung SUHAKAM harus diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga dalam negara ini.
Ahmad Marzuk berkata, susulan iklan mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan jantina ketiga yang disiarkan di Facebook SUHAKAM bertarikh 14 Jun 2021 sebelum ini pula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menghantar emel rasmi kepada suruhanjaya itu bagi memohon penjelasan mengenai justifikasi cadangan penyelidikan yang akan dijalankan.
“Setakat ini, SUHAKAM masih belum memberikan sebarang jawapan.
“JAKIM berhak menerima penjelasan daripada SUHAKAM sementelah sudah menjadi tugas dan peranan JAKIM untuk menangani sesuatu isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Lagi pula, kita tidak mahu data-data yang dikumpulkan disalah guna untuk memberi gambaran realiti sosial yang salah, memandangkan matlamat kajian secara jelas adalah berat sebelah, iaitu ke arah memberi pengiktirafan kepada jantina ketiga,” katanya.
Beliau berkata, antara isu yang boleh diberi tumpuan untuk kajian adalah mengenai mangsa keganasan rumah tangga yang lebih banyak data dan kajian diperlukan daripada semua pihak dalam mencari solusi terbaik bagi menyelesaikannya, terutama yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memperbanyak kajian yang memberi manfaat kepada golongan ini adalah lebih utama daripada pergi kepada isu-isu yang menjadi bantahan majoriti rakyat.
“Saya memohon agar SUHAKAM jujur dalam menentukan kajian yang lebih penting dalam merealisasikan hak asasi manusia di Malaysia.
“Yang lebih utama, hormatilah Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat majoriti Islam yang berpegang teguh dengan agama dan nilai moral,” katanya. – Malaysiapost

