Melaka benarkan 100 jemaah solat Jumaat mulai esok

0
1
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

JABATAN Agama Islam Melaka (Jaim) membenarkan 100 jemaah solat Jumaat bagi masjid kerajaan dan 50 jemaah di masjid serta surau Jumaat di kariah seluruh Melaka, mulai esok.

Pengarahnya, Datuk Che Shukri Che Mat, berkata bilangan maksimum jemaah solat Jumaat di tujuh masjid kerajaan yang ditadbir Jaim itu adalah terdiri dari pegawai dan jemaah dengan kaedah ditentukan oleh jawatankuasa masjid.

Menurutnya, bagi masjid kariah, masjid institusi dan surau Jumaat pula adalah terdiri dari pegawai dan jemaah dengan kaedah ditentukan oleh jawatankuasanya.

Beliau berkata, ketetapan untuk aktiviti lain yang dibenarkan adalah tidak berubah seperti yang ditetapkan sejak sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu bilangan maksimum 12 jemaah bagi solat fardu dan solat jenazah.

“Berdasarkan situasi semasa, Kerajaan Melaka melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka yang bersidang semalam bersetuju mengeluarkan ketetapan baharu berkaitan jumlah maksimum jemaah solat Jumaat.

“Perubahan kepada ketetapan jumlah maksimum jemaah solat Jumaat ini berkuatkuasa bermula esok sehingga apa-apa tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Shukri berkata, aktiviti lain di masjid seperti majlis bacaan surah Yasin dan tahlil, ceramah agama, akad nikah, kursus, bengkel, jamuan dan gotong-royong masih ditangguhkan.

“Sekiranya terdapat masjid atau surau yang mempunyai kes jangkitan, sebarang arahan khusus dari Jaim atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah terpakai.

“Kebenaran pelaksanaan aktiviti juga boleh ditarik balik sekiranya pentadbiran masjid dan surau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid serta surau di Melaka sebelum ini dihadkan hanya 12 orang berikutan sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 di seluruh negara mulai 1 Jun lalu. – Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here