Kerajaan cadang beri vaksin pelajar tingkatan 5 dan 6

0
1
Botol vaksin AstraZaneca di PWTC.

KERAJAAN dalam perancangan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, cadangan itu susulan daripada kenyataan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) bersetuju pengunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk individu berusia 12 tahun ke atas.

Khairy berkata, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin juga ada bertanya kepadanya mengenai kewajaran untuk memberi vaksin kepada pelajar tingkatan lima dan enam terlebih dahulu.

“Itu masuk akal kerana saya fikir anak-anak yang menghadapi peperiksaan awam benar-benar perlu kembali ke sekolah untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan.

“Oleh itu, kami sedang mengusahakan sesuatu dengan Kementerian Pendidikan untuk memusatkan perhatian pada tahun peperiksaan terlebih dahulu, untuk memberi suntikan kepada para guru, staf sokongan di sekolah dan juga pelajar tahun peperiksaan sekarang dan Pfizer telah diluluskan untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 18 tahun,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi webinar yang dihoskan oleh Oxford & Cambridge Society of Malaysia malam tadi.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, beliau dimaklumkan oleh Mohd Radzi bahawa terdapat 357,000 pelajar yang akan menduduki SPM dengan membabitkan 47,000 guru.

Sehubungan itu, katanya, ntuk memudahkan suntikan khemah vaksinasi boleh didirikan di sekolah.

“Pelajar-pelajar ini hadir pada hari pertama, dan ada khemah vaksinasi di sana. Mereka masuk, mereka diberi vaksin dan pergi, ”katanya.

Namun, Khairy tidak menjelaskan sama ada pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam itu akan diberi vaksin bersama kumpulan berisiko lain yang sedang diberi vaksin ketika ini, atau hanya menerima vaksin mereka lebih awal daripada remaja lain.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali Ke-359 Berkenaan Pendaftaran Vaksin Covid-19.

“Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas,” katanya

Menurutnya, walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here