Maszlee cadang calon SPM, STPM diberi vaksin Covid-19

0
1

SEKOLAH boleh dibuka lebih awal daripada September sekiranya kerajaan mempertimbangkan pemberian vaksin Covid-19 kepada guru dan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bekas Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik berkata demikian susulan pengumuman kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyentuh mengenai keprihatinan terhadap ‘generasi tercicir’ daripada persekolahan susulan pandemik Covid-19.

“Kerajaan harus menangani masalah ini dengan serius, dan menanganinya mengikut data dan sains. Kami ingin mengetahui apa pelan mitigasi untuk ‘generasi yang tercicir’ ini, ” katanya seperti dilapor Malay Mail, semalam.

Maszlee berkata, pelan yang dirangka mesti membabitkan semua pihak yang berkepentingan termasuk kerajaan, agensi, institusi, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Sehingga hari ini kami belum mendengar dan melihat perancangan kerajaan untuk menangani situasi ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau menjangkakan sekiranya program inokulasi dapat diselesaikan bulan depan, sekolah secara bersemuka boleh dilaksanakan untuk calon SPM dan STPM tahun ini.

“Program vaksinasi dapat dilakukan di sekolah melalui pusat vaksinasi bergerak, namun sayangnya cadangan ini bukan dari perancangan yang diumumkan (kerajaan).

“PPN itu mengabaikan pendidikan berbanding dengan masalah ekonomi yang lain.” katanya.

Maszlee berkata, ibu bapa juga berhadapan kekangan termasuk kekurangan alat dan bahan pendidikan untuk membantu anak masing-masing menerusi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang digunapakai ketika ini.

Beliau berkata, perkara berhubung bahan mengajar itu boleh diselesaikan menerusi kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – yang diedarkan melalui televisyen, radio dan media sosial.

“Selain itu, sudah tiba masanya RTM memiliki saluran pendidikan khusus yang serupa dengan saluran CBBC, Cbeebies dan BBC4 British Broadcasting Corporation.

“Malah, kita juga masih menunggu Menteri Komunikasi dan Meltimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk memenuhi janjinya pada 22 Januari lalu, bahawa RTM akan menghasilkan saluran pendidikannya sendiri.

“Program itu berguna untuk menolong anak-anak, dengan syarat ia tidak boleh mengikut jadual waktu sekolah seperti yang terdapat di DidikTV, selain perlu dipenuhi dengan kandungan berkualiti tinggi yang serupa dengan BBC,” katanya. – Malaysiapost

Sebelum ini, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan mecadangkan kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk memberi suntikan vaksin kepada calon SPM 2021 .

Beliau berkata, ia wajar dilaksanakan bagi membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.

Selain itu, katanya, guru yang mengajar kelas Tingkatan 5 juga wajib divaksin secepat mungkin bagi membolehkan mereka hadir ke sekolah dan membantu calon SPM tahun ini. – Malaysiapost

Foto Kredit: IG/@maszlee

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here