Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kerajaan mengambil maklum titah pandangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara semalam.
“Dalam sesi-sesi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum dan menasihati baginda mengenai perjalanan pengurusan pandemik Covid-19.
“Termasuk penguatkuasaan Ordinan-ordinan Darurat, pelaksanaan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah , baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan tiada keperluan darurat disambung selepas 1 Ogos.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

