Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan desakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin agar meletak jawatan sekiranya Parlimen tidak dibuka dalam masa terdekat, adalah sikap binatang politik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata gesaan PH melalui Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu merupakan niat sebenar kelompok tersebut di negara ini.
Katanya, kelompok itu bagaikan menangguk di air yang keruh dengan cuba memutar-belitkan kenyataan dari Istana Negara seolah-olah parlimen patut dibuka sekarang juga tanpa mengira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas di luar sana serta mengancam semua pihak tanpa mengira siapa.
Jelasnya, kenyataan Istana Negara semalam bertepatan dengan kenyataan pihak Perdana Menteri sebelumnya bahawa parlimen akan dibuka secepat mungkin dalam bulan September atau Oktober setelah kadar vaksinasi kebangsaan mencapai sasaran tertentu serta setelah kes-kes baru Covid-19 dapat diturunkan dengan drastik.
“Tiada titah dari YDP Agong agar parlimen dibuka sekarang juga ketika darurat sedang berlangsung hingga 1 Ogos nanti.
“Bagaimanapun, kelompok BINATANG POLITIK dalam negara ini sengaja menjadikan kenyataan Istana Negara semalam sebagai modal untuk mengalihkan perhatian rakyat di negara ini yang sedang bergelut dengan penularan wabak berskala global serta masalah ekonomi kesan darinya, di mana kerajaan Malaysia sedang berusaha bersungguh-sungguh hampir 24 jam bersama para petugas barisan hadapan untuk menjayakan agenda pemulihan negara sambil mengimbangi tuntutan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenyataan dari Istana Negara juga langsung tidak menyebut bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya malah tiada pula dilayan sebarang cadangan untuk membentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Pilihan Raya Umum dalam waktu terdekat atau sebarang bentuk penukaran kepimpinan negara dari yang sedia ada.
“Sesungguhnya YDP Agong dengan segala kebijaksanaan baginda, amat memahami realiti semasa negara ini yang memerlukan kerjasama semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing demi rakyat, bukan demi kepentingan peribadi, apatah lagi bermain politik di kala negara amat memerlukan kestabilan politik dalam menghadapi bencana besar seperti sekarang.
” Amatlah tidak bertanggungjawab kelompok BINATANG POLITIK tersebut yang mahu parlimen dibuka sekarang sungguhpun mereka tahu kadar vaksinasi nasional belum mencapai liputan 50% populasi negara.
” Sedangkan mereka tahu kadar vaksinasi yang sedang diusahakan kerajaan makin hari makin meningkat kepantasannya. Tidak bolehkah mereka bersabar sedikit masa lagi?,” soalnya.
Beliau berkata, jika parlimen dibuka sekarang, bukan saja ahli-ahli parlimen, sama ada yang sudah menerima vaksin atau belum, tapi semua pihak terdedah dengan varian-varian baru Covid-19 yang lebih ganas.
“Kita tidak mahu kelak nanti wujud pula KLUSTER PARLIMEN yang mengorbankan nyawa terutama mereka yang berada dalam kelompok berisiko tinggi akibat mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain.
“Cadangan sidang parlimen secara maya atau hibrid pula mempunyai keterbatasan yang tertentu memandangkan ia pertama kali dicadangkan, maka sudah tentu ia mengambil masa untuk direalisasikan agar tiada masalah teknikal yang berbangkit di kemudian hari,” katanya.
Tambahnya, andai kata wujud Kluster Parlimen oleh mereka yang hadir atau masalah teknikal ketika sidang secara maya, maka sudah tentu ia akan dijadikan pula modal politik oleh kelompok binatang politik ini tadi.
“Rakyat Malaysia rata-ratanya sudah muak melihat aksi-aksi riuh rendah dalam Dewan Rakyat berserta sikap tidak profesional dan tidak ikhlasnya beberapa ahli parlimen yang selama ini hanya bertikam lidah tanpa sebarang objektif yang benar-benar memberi manfaat ke arah bangsa dan negara,” ujarnya. -Malaysiapost

